hari-hari dalam hidupku

"hasbunallahu wa ni'mal wakiil, ni'mal maula wa ni'man nashir.. cukuplah Allah sebagai penolong kami, sebaik-baik pelindung dan Dialah sebaik-baik pembantu"

Nov 30, 2011

Berfikiran Positif Dan Optimis Rahsia Kejayaan


Dunia seakan-akan gelap. Seolahnya tiada lagi cahaya yang menyuluh. Apakah ini pengakhiran yang kita mahukan?

Kejayaan adalah memaksimumkan potensi kita untuk merealisasikan matlamat utama kita dalam perjalanan hidup. Semua insan pernah gagal. Kerana gagal adalah guru.

Apabila kita berusaha untuk mencapai sesuatu, kita berjaya kerana kita tahu cara untuk mencapai matlamat kita.

Bijak pandai pernah berkata, "Sama ada kita menjadi abu atau menjadi seekor merak, ia terpulang pada diri kita sendiri."

Sebenarnya, hidup kita bukan sekadar bergantung pada setiap apa yang berlaku pada kita dan sekeliling, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memberi tindak balas terhadap apa yang berlaku.

Sayangi diri.

Buatlah sesuatu demi kebaikannya dan yang memberi manfaat buatnya.

Ia bukan bermakna pergi spa 30 hari sebulan, tetapi lebih dari itu.

Kisah Guru Dan Murid

Seorang guru pernah bertanya pada anak muridnya, "Adakah kamu semua menyayangi diri sendiri?"

Dan para murid menjawab, "Ya! Kami sayang diri kami!"

Ujar guru itu, "Bagaimana cara kamu semua menyayangi diri sendiri?"

"Belajar sungguh-sungguh!"

"Jaga hati!"

"Pakai topi keledar!''

Maka kata si guru,

"Benar. Tetapi ia lebih dari itu. Terimalah diri kamu, tiada manusia yang sempurna. Hormatlah maruah kamu, ia tidak pernah meminta untuk diragut melainkan kamu yang membiarkannya. Berikan galakan kepada diri kamu, galakan orang lain tidak cukup buatmu. Rancangkan kejayaan buat diri kamu, jangan biar diri kamu gagal kerana kegagalan yang diterima."

Boleh menangis, menyesal, menjerit sekuat mungkin kerana meratapi kegagalan yang diterima. Tetapi pada esok hari, kamu harus bangun tidur dengan segar dan hilangkan segala kesedihan.

Kenapa?

Kerana berabad-abad sekalipun tangisan dan kekecewaan ia tidak akan merubah apa-apa. Ambil separuh untuk dijadikan iktibar dan ambil separuh untuk dijadikan pendorong.

Kisah Lelaki dan Jadual Penerbangannya

Seorang lelaki mengejar penerbangannya, saat tiba di lapangan terbang, penerbangannya terpaksa dilewatkan kerana kerosakan pada bahagian tertentu. Tetapi dia tidak marah. Katanya, "Bagus!"

Maka orang di sekelilingnya hairan. Bukankah sepatutnya lelaki itu marah.

"Mereka mengambil berat akan keselamatan kita. Bukankah ia bagus?"

"Tetapi.. sukarlah untuk kita mendapatkan penerbangan berikutnya. Kerana kita terpaksa menunggu dengan begitu lama. Sedangkan sekarang kita sedang mengejar masa!"

"Bagus!"

Dan orang di sekelilingnya bertambah hairan.

"Kenapa bagus?".

"Kerana saya dan semua orang dapat bersantai-santai terlebih dahulu. Cuaca di luar sana sangat tidak menyenangkan. Sedangkan kita di sini berada dalam keadaan nyaman dan selesa. Terdapat beberapa buah kusyen empuk di hujung kaunter. Terdapat makanan dan kopi panas di kafeteria. Jadi saya akan memanfaatkan peluang ini, kerana saya sering tidak cukup masa selama ini. Sekarang saya dapat membaca majalah kegemaran saya terlebih dahulu."

Dan orang sekelilingnya merasa kagum dengan lelaki itu. Seraya berkata, "Hebat!"

Itulah dia. Tabiatnya yang positif akan mempengaruhi kelakuan, kata-kata dan pastinya keputusan. Ia memberitahu dunia bahawa sikap positif penting dalam kehidupan. Apa sekali pun tujuan kita, fikir positif. Sentiasa positif dan optimis!

Saya tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang terdapat dalam sebuah buku motivasi "Menuju Kejayaan."

"Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu, saya terus minta dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju biarlah padan dengan badan. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah."

sumber : www.iluvislam.com

No comments: