hari-hari dalam hidupku

"hasbunallahu wa ni'mal wakiil, ni'mal maula wa ni'man nashir.. cukuplah Allah sebagai penolong kami, sebaik-baik pelindung dan Dialah sebaik-baik pembantu"

Jan 10, 2012

Sudahkah Aku Berterima Kasih?

Usai solat sunat subuh, sementara menunggu untuk solat berjemaah,aku teringat hadis daripada Nabi Muhammad saw, tentang kelebihan solat sunat sebelum subuh.

Subhanallah, baiknya Allah swt kepada kita, ganjaran yang diberi sangat banyak, tidak ternilai dengan dunia ini walau sedikit pun. Dengan sedikit amalan yang kita buat, ganjarannya berlipat kali ganda.

Sudahkah Aku Berterima Kasih ?

Pernahkah kita terfikir, layakkah kita untuk menerima ganjaran daripada ALLAH swt, sedangkan segala apa yang kita miliki hari ini, bukankah dari ALLAH swt ?. Pakaian, makan, tempat tinggal, harta, wang ringgit, keselesaan, kecerdikan diri, kesihatan dan banyak lagi nikmat yang kadang-kadang kita sendiri pun terlupa. Bukankah status kita sebagai hamba ALLAH swt, sepatutnya kita membalas segala apa yang ALLAH swt berikan kepada kita dengan melakukan ketaatan berterusan kepadanya, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran walaupun secebis.
Maha pemurahnya Allah swt, Maha Penyayangnya Allah swt, Allah swt tetap memberikan ganjaran kepada setiap amalan kita, walaupun sepatutnya, kita tidak layak sedikit pun, untuk menerima apa-apa ganjaran daripada Allah swt.

Sudahkah Aku Berterima Kasih ?

Kadang-kadang diri terleka, hanyut dengan arus dunia, cabaran dan dugaan yang datang silih berganti, mencabar kekuatan diri. Satu ketika, solat diringan-ringankan, maksiat dilakukan tanpa rasa bersalah, perkara mungkar dibiarkan sahaja berlaku, tanpa ada rasa benci sedikit pun, aku terlupa status sebenar sebagai seorang hamba kepada yang Maha Esa. Ampunkan aku, Ya Allah, atas segala kekhilafan diriku ini.

Aku juga selalu terlupa, segala amalan yang aku lakukan ini, tidak pernah sedikit pun akan dapat membalas segala nikmat yang engkau berikan, hatta kurniaan sepasang mata ini pun, tidak dapat dibalas oleh hambamu ini, Ya Allah.

Ya Allah, walaupun dosaku bergunung-gunung banyaknya, tidak terbilang kiranya, dan aku sering sahaja melakukan dosa, tetapi engkau, Ya Allah, masih sudi nak mengampunkan dosa hambamu ini, yang memang sering melupakanmu.



Maka, sudahkah aku berterima kasih kepadamu, Ya Allah, atas segala yang engkau berikan. Pasti belum cukup, Ya Allah, tapi aku berazam akan berusaha sebaik mungkin, untuk terus berada dalam ketaatan kepadamu, agar aku diterima menjadi hambamu, yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepadamu.


sumber : iluvislam.com

No comments: